[ad_1]

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang merupakan salah seorang pemain utama dalam pengaturan semula politik tempatan baru-baru ini kembali semula menyertai kabinet sebagai menteri kanan – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mohamed Azmin, yang merupakan Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Bukit Antarabangsa (sejak 2008), merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Beliau merupakan bekas timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam gabungan PH di peringkat persekutuan sebelum mengetuai sekumpulan 11 Ahli Parlimen PKR menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru dilantik.

Mohamed Azmin, 55, menjadi Menteri Besar Selangor pada 23 Sept, 2014, susulan peletakan jawatan penyandang sebelumnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

BACA: Ucapan penuh pengumuman senarai Kabinet oleh PM Tan Sri Muhyiddin Yassin

BACA: Muhyiddin lantik 4 menteri kanan, bantu selaras hal ehwal Kabinet

Sebagai Menteri Besar Selangor, beliau telah memperkenalkan pelbagai skim bagi kesejahteraan kumpulan B40, termasuk Skim Peduli Rakyat, Skim Peduli Sihat dan Skim Kasih Ibu Smart Selangor, serta melancarkan program strategik 10 tahun pad 2015 untuk mengubah Selangor menjadi negeri pintar.

Beliau menyertai perkhidmatan awam pada 1987 sebagai pegawai khas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu merupakan menteri pendidikan. Beliau kemudiannya menjadi setiausaha sulit Anwar semasa Anwar menyandang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

Mohamed Azmin yang dilahirkan pada 25 Ogos, 1964 di Singapura dan membesar di Kuala Lumpur, memulakan pendidikan awal beliau di Sekolah Rendah Jalan Gurney dan Sekolah Menengah Setapak, dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Institut Teknikal Jalan Cheras Kuala Lumpur.Beliau kemudiannya meneruskan pendidikan di University of Minnesota dan menerima ijazah sarjana muda dalam Ekonomi dan Matematik dan ijazah sarjana dalam Pendidikan dan Ekonomi.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link