[ad_1]

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) rangkul tiga anugerah pada majlis makan malam Anugerah PR Malaysia (MPRA) 2019 pada Jumaat.

Anugerah Emas dimenangi dalam kategori Tanggungjawab Sosial Korporat menerusi Astro Kem Badminton.

Anugerah Perak pula diraih Astro dalam kategori Pelancaran Pengguna menerusi Kempen Piala Dunia FIFA Rusia 2018.

Kedua-dua anugerah tersebut diterima Pengarah Komunikasi Astro, Tammy Toh dan pasukannya pada majlis yang diadakan di Connexion Conference & Event Centre, di sini, pada Jumaat.

Tammy berkata anugerah tersebut sebagai pengiktirafan atas usaha luar biasa Astro dalam membangunkan sukan di negara ini.

“Kami amat gembira memenangi anugerah-anugerah ini kerana ia menunjukkan bahawa Astro merupakan ibu kepada segala saluran sukan.

“Ia juga menunjukkan bahawa Astro mengutamakan komuniti terutamanya dalam membangunkan bidang sukan di Malaysia dan Kem Badminton merupakan program akar umbi kami.

“Tahun hadapan merupakan tahun yang penting dalam sukan kerana Astro akan membawakan perlawanan UEFA Euro 2020 dalam Definisi Ultra Tinggi 4K (4K UHD),” kata Tammy apabila ditemui selepas majlis tersebut.

Anugerah ketiga syarikat dimenangi Astro AWANI yang merangkul Anugerah Khas Kepimpinan PRCA Malaysia.

Anugerah berprestij tersebut sebagai pengiktirafan atas usaha luar biasa Astro AWANI dalam mengubah landskap televisyen di negara ini.

BACA: Astro AWANI kekal antara jenama berita paling dipercayai

Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron yang menerima anugerah tersebut berkata kemenangan tersebut adalah hasil sokongan tidak berbelah bagi yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

Anugerah ini adalah untuk setiap rakyat Malaysia di luar sana yang percaya bahawa negara ini merupakan tanah tumpahnya darah kita, di mana sikap kemanusian menewaskan ketamakan. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG

“Anugerah yang diberikan kepada AWANI adalah tentang kepimpinan kerana membawa kembali betapa pentingnya untuk berbicara isu-isu yang penting bagi akar umbi supaya mewakili setiap rakyat Malaysia.

“Ia bukan kerana kami di Astro AWANI, tetapi kami mewakili setiap rakyat Malaysia yang mungkin kami tidak kenal muka mereka atau tidak pernah dengar suara mereka, tetapi kami tahu isi hati serta rintihan mereka dan kami menguar-uarkan di udara dan di dalam talian,” ujar Kamarul.

Sementara itu, Editor Eksekutif Astro AWANI, Ashwad Ismail pula berkata anugerah itu mendorong warga Astro AWANI agar terus berusaha untuk membawakan berita segenap dimensi.

“Dengan anugerah ini, ia bukan sahaja memberikan kelebihan kepada kami malah juga kepada penonton.

“Terima kasih kepada penonton kerana sentiasa menjadi motivasi kepada pasukan Astro, khususnya Astro AWANI untuk menganjak citra baharu dalam media negara ini.

“Dengan suasana gangguan digital ini, ia tentunya mencabar tetapi apa yang paling penting ialah kami terus memberi inspirasi dan terus memperkasa,” kata Ashwad.

Majlis makan malam MPRA diadakan buat kali ke-12 dan menyaksikan penyertaan paling tinggi daripada syarikat pelbagai sektor iaitu sebanyak 69 penyertaan dalam 14 kategori.



[ad_2]
Source link