[ad_1]

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menunggu keputusan Kongres Khas Universal Postal Union (UPU) yang sedang berlangsung di Geneva, Switzerland berkaitan kadar kiriman pos keluar negara dan berpotensi memberi kesan secara langsung kepada Malaysia.

Menterinya, Gobind Singh Deo ketika ditemui bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana kongres khas itu masih berlangsung dan hanya akan berakhir pada Khamis ini (26 September).

“Saya tidak akan memberikan komen mengenai perkara ini sehingga mesyuarat tersebut berakhir.

“Kami akan menunggu mesyuarat itu berakhir dan akan membuat perubahan selepas keputusan dibuat.

“Hal ini kerana apa yang saya katakan sekarang akan merumitkan keadaan atau menberi kesan kepada perbincangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pada Persidangan GSMA Mobile 360 Digital Societies di Hotel JW Marriot pada Selasa.

UPU mengadakan kongres khas tersebut susulan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk menarik negara itu daripada kesatuan berkenaan.

Penarikan diri AS daripada kesatuan antarabangsa tersebut barangkali bermaksud kadar penghantaran yang lebih tinggi bagi beberapa jenis penghantaran seperti bungkusan dengan berat tertentu.

Dikhuatiri tindakan AS itu boleh menyebabkan peningkatan harga penghantaran bungkusan di negara lain, termasuk Malaysia yang merupakan anggota kesatuan antarabangsa yang berusia 145 tahun itu.



[ad_2]
Source link