KINABATANGAN: Artis muda beragama Islam diingatkan agar sentiasa menjaga lirik lagu yang dibawa dan imej penampilan diri agar menjadi contoh positif kepada golongan remaja.

Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah, Hasbullah Raudah berkata senario terkini memperlihatkan ada kalangan artis muda popular yang muncul dengan imej yang bertentangan dengan hukum Islam.

“Contohnya yang lelaki bercukur kening, bercat kuku hitam, rambut dicukur dengan pelbagai bentuk, malah memakai aksesori gelang dan rantai emas,” katanya.

Perkembangan tersebut yang bukan sahaja melibatkan artis di Sabah, malah di seluruh negara, disifatkannya membimbangkan.

Hasbullah berkata, golongan artis perlu diperhatikan bukan sahaja dari segi bait-bait lirik lagu yang kadang-kadang berbaur lucah, malah klip video yang dihasilkan juga banyak yang lari daripada nilai-nilai Islam.

“Jangan lupa, Malaysia ini negara Islam. Sepatutnya golongan artis ini, golongan yang sangat diminati oleh anak-anak muda, mereka jadi ikutan pada anak-anak muda kita.

“Walaupun lirik lagu yang baik, tetapi mestilah menunjukkan imej yang baik juga, pakaian yang baik, peralatan aksesori yang baik, agar anak-anak muda kita tidak terpesong dan tidak terikut dengan benda-benda yang negatif,” katanya.

Hasbullah yang juga Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah bahagian Semporna berkata demikian kepada Astro AWANI selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Perdana anjuran Persatuan Muslimah di Kinabatangan pada Isnin.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar umat Islam di negeri Sabah kembali kepada ajaran Al-Quran serta menasihati golongan ibu bapa agar memberi perhatian penuh kepada anak-anak mereka dalam aspek agama.





Source link