KUALA LUMPUR: Ketika meraikan sambutan perayaan di Malaysia, jarang sekali kita tidak membayangkan makanan yang lazat, sama ada hasil air tangan sendiri atau sebaliknya.

Berbaki satu hari lagi sebelum meraikan Krismas, vendor dan restoran menawarkan satu daripada resipi tradisi Krismas yang popular iaitu biskut halia.

Makanan pencuci mulut Krismas tradisional, dengan aroma menakjubkan daripada pelbagai jenis rempah dan sirap gula merah, seumpama tarikan ajaib yang boleh mengumpulkan ramai orang.

Junandus, sebuah kafe tempatan yang menghidangkan pencuci mulut daripada biskut sehingga kek, telah menjual biskut halia istimewa mereka sejak 2015, secara eksklusif semasa musim Krismas.

“Kami berbesar hati untuk membawa kegembiraan melalui pelbagai jenis kek Krismas yang indah seperti kek log, biskut halia dan coklat untuk berkongsi antara keluarga dan rakan-rakan pada Krismas ini,” katanya.

“Versi biskut halia kami, aroma rempah-rempahnya ‘lebih ringan’ untuk menepati selera orang tempatan. Walaupun orang asing suka memadankan biskut halia dengan segelas wain atau secawan coklat dengan marshmallow, kami (rakyat Malaysia) secara peribadi suka mencelupkan biskut halia kami dengan kopi tempatan kegemaran kami, dan (cara itu) tidak ada yang betul atau salah, ” kata pengarah urusannya, Jun Chong kepada Bernama pada Isnin. 

Chong juga mengakui jualan biskut halia mendapat sambutan hangat pada musim Krismas memandangkan permintaan meningkat setiap tahun dengan lebih ramai orang semakin menyedari kelazatannya.

“Bagaimanapun, masih ramai orang yang belum pernah merasai biskut halia sebelum ini. Biskut halia bukanlah makanan yang hanya berkaitan dengan penganut Kristian, kami mempunyai beberapa pembeli bukan penganut Kristian untuk turut merasainya,” katanya.

Campuran rempah yang manis dan pedas dengan cecair gula merah yang sedikit pahit, telah menghasilkan bau biskut halia yang unik.

Dikeluarkan panas-panas daripada ketuhar, ia memberikan aroma tersendiri yang membangkit selera, selain daripada keseronokan sebenar, menikmatinya dengan yang tersayang.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa pasar raya yang menjual biskut dan kek halia telah kehabisan stok.

Tidak dinafikan, biarpun meriah dengan lampu dan hiasan, Krismas tidak akan sempurna tanpa kehadiran biskut halia dan rumah biskut halia yang membuatkan musim cuti anda bertambah manis!

— BERNAMA




Source link