KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan Malaysia dalam usaha memastikan konsep Kemakmuran Bersama berjaya, sekaligus mengatasi isu ketidaksamaan dalam kalangan anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Selaku pengerusi APEC 2020, Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sufian Jusoh berkata, selain itu, antara fokus Malaysia adalah untuk menyemak semula Pelan Keselamatan Makanan APEC 2014.

Jelasnya, pelan tersebut akan ditambah baik dan dilancarkan semula sebagai APEC Security Food Plan 2020.

“Jadi antara isu yang kita akan bincangkan adalah bagaimana bekalan makanan diberikan atau disampaikan kepada pelbagai penduduk dan lapisan ekonomi APEC agar tidak ada lagi pembaziran makanan.

“Ini kerana ada sesetengah ekonomi ini mempunyai banyak makanan tetapi membazir, dan ada sesetengah ekonomi pula kurang makanan.

“Jadi, bagaimana kita hendak seimbangkan pengagihan makanan dan juga kemakmuran ini di antara penduduk sesebuah ekonomi dan juga penduduk keseluruhan ekonomi APEC tersebut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ditanya mengenai keadaan di sesebuah negara yang menyaksikan golongan bawahan terpaksa membayar  kadar cukai lebih tinggi berbanding golongan berada, Dr Sufian berkata, pertumbuhan ekonomi anggota APEC perlu secara menyeluruh termasuk melibatkan pembangunan belia dan golongan luar bandar.

Katanya, kemakmuran ekonomi perlu dilihat berdasarkan struktur sosial masyarakat sesebuah negara berbanding Pertumbuhan Dalam Negara Kasar (KDNK), yang digunakan ketika ini.

“Sepanjang kita menjadi Pengerusi APEC 2020, kita akan melihat kepada isu Kemakmuran Bersama ini dari segi tiga isu, iaitu pertama berkenaan hubungan perdagangan, kelestarian dan keselamatan makanan.

“Memang kita sedar di sesetengah negara, golongan yang di bawah membayar cukai lebih tinggi berbanding golongan di atas tetapi kita ingin melihat supaya aktiviti ekonomi contohnya, dari segi ekonomi digital akan melibatkan pembangunan kepada golongan belia kepada golongan di luar bandar, golongan wanita dan perniagaan kecil dan sederhana,” katanya.

APEC, yang terdiri daripada 21 ekonomi termasuk Malaysia, merupakan forum ekonomi serantau yang diasaskan pada 1989 untuk memanfaatkan kesalingbergantungan yang semakin meningkat di Asia Pasifik

Terdahulu, satu laporan oleh Oxfam International mendedahkan ketidaksamaan dalam kalangan masyarakat dunia dilihat semakin menebal.

Laporan tersebut menyatakan ratusan juta orang hidup dalam kemiskinan tegar, sementara golongan kaya menikmati pelbagai ganjaran, selain berlaku peningkatan dalam kalangan jutawan berbanding sebelum ini.





Source link