[ad_1]

PAKAR ekonomi berpendapat harga minyak yang susut ketika ini adalah kerana wabak koronavirus (COVID-19) menyerang ekonomi di China dan impaknya yang terus merebak di seluruh dunia sehingga kini.

Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, COVID-19 menyebabkan permintaan minyak dunia mengalami kejatuhan.

“Permintaan minyak global telah terjejas oleh COVID-19 dan banyak negara mengambil keputusan untuk menyekat perjalanan udara, malah penduduk dunia juga memilih untuk tidak mengembara.

“Kejatuhan harga minyak mungkin bagus bagi pengguna, namun kesan kepada kerajaan adalah sebaliknya kerana ia akan mengurangkan lagi pendapatan kerajaan,” katanya.

Ditanya mengenai trend penurunan harga minyak akan terus kekal, beliau berkata, keadaan itu bergantung kepada pelbagai faktor lain, selain kesan daripada penularan COVID-19.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff turut menjangkakan harga minyak kekal pada tahap rendah kerana kesan daripada COVID-19.

“Wabak ini telah memperlahankan ekonomi dunia dan mengurangkan penggunaan pengangkutan. Keadaan itu sekali gus turut mengurangkan permintaan terhadap penggunaan minyak,” katanya.

Harga runcit petrol RON97 turun 21 sen kepada RM2.19 seliter dan RON95 turun sebanyak 19 sen kepada RM1.89 seliter mulai tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, harga runcit diesel turut mengalami penurunan diesel sebanyak 17 sen kepada RM1.96 seliter.

“Harga runcit berkenaan bagi tempoh 7 sehingga 13 Mac 2020,” katanya.



[ad_2]
Source link