PUCHONG: Konsert Metal Sound yang bakal berlangsung 6 Disember ini bakal menyaksikan kelainan yang akan dihadirkan oleh kumpulan rock heavy metal terkenal tanah air XPDC.

Selain bakal berkongsi pentas dengan kumpulan MAY, XPDC dikhabarkan akan bergandingan dengan ‘dewa gitar’ Malaysia Man Kidal buat julung kalinya.

Menurut pengurus XPDC Yazid Selamat, ini adalah kali pertama kumpulan rock itu bergandingan dalam menjayakan muzik bawaan XPDC di konsert.

“Sukar juga nak bayangkan ‘lejen’ gitaris kita Man Kidal beraksi dengan XPDC kerana tak pernah buat sebelum ni. Tapi bagi XPDC, ia bagaikan satu penghormatan buat kami apabila Man sudi bermain lagu XPDC pada malam itu nanti.

“Kalau ikut perancangan, Man Kidal akan bergabung dengan  gitaris XPDC, Jeff, untuk dua buah lagu XPDC pada malam itu iaitu Bahalol dan Senapang Patah,” ujar Yazid.

Konsert yang bakal diadakan pada malam itu juga akan menyaksikan kumpulan MAY akan naik ke pentas dahulu sebelum diikuti oleh XPDC.

Bagi gitaris XPDC Jeff, ia adalah peluang yang menarik dapat berkongsi pengalaman bermain gitar dengan Man Kidal dalam konsert XPDC walaupun ini bukanlah kali pertama.

“Saya tahu cara dia bermain gitar dan dia pun tahu cara saya. Kami pernah juga jamming sekali sebelum ini. Tapi kalau untuk konsert, ini adalah kali pertama dan ia adalah hadiah istimewa kepada peminat XPDC yang datang pada konsert Metal Sound nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Puchong pada Selasa.

XPDC dijangka mempersembahkan 10 buah lagu pada konsert itu nanti.

Peminat yang hadir turut berpeluang memenangi cabutan bertuah yang dianjurkan oleh penganjur konsert berkenaan.





Source link