[ad_1]

AYER KEROH: Majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka akan berlangsung esok di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Berdasarkan jemputan kepada pihak media, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Exco berkenaan akan bermula jam 2.30 petang Jumaat di Dewan Seri Negeri, Kompleks Seri Negeri di sini.

Difahamkan, sekurang-kurangnya sembilan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk seorang ADUN wanita dari gabungan Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan negeri akan mengangkat sumpah pada istiadat itu.

Semalam, Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali mengesahkan senarai nama ADUN yang bakal dilantik sebagai Exco, sudah dipersembahkan kepada Mohamad Khalil untuk dipersetujui.

Menurut sumber, mereka yang dikatakan bakal mengangkat sumpah adalah dalam kalangan pemegang jawatan UMNO di peringkat bahagian iaitu Datuk Seri Abd Ghafaar Atan (Asahan), Datuk Hasan Abd Rahman (Sungai Rambai) dan Datuk Ismail Othman (Kuala Linggi).

Turut disebut-sebut bakal dilantik, Datuk Roslan Ahmad (Merlimau), Datuk Noor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Rahmad Mariman (Ayer Molek) selain Adun Taboh Naning, Datuk Latipah Omar yang merupakan satu-satunya wakil rakyat wanita dalam kerajaan PN negeri.

Dua Exco yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga dijangka bakal dilantik semula ke jawatan itu.

Mereka adalah Adun Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Perikatan Nasional negeri Melaka mempunyai 15 ADUN, membabitkan 13 dari Barisan Nasional (BN), masing-masing satu dari PKR dan Bebas.



[ad_2]
Source link