KEUPAYAAN Carlo Ancelotti untuk membentuk pasukan yang mampu memenangi trofi menjadikannya sebagai “pelantikan sempurna” buat Everton, menurut pengarah bola sepak kelab itu, Marcel Brands.

Pencarian Everton untuk melantik seorang pengurus baru sejak dua minggu lalu secara rasminya dimuktamadkan pada Sabtu dengan pengesahan ketibaan Ancelotti menerusi perjanjian empat setengah tahun.

Pengurus berusia 60 tahun itu yang hadir untuk menggantikan Marco Silva di Goodison Park, kembali memegang jawatan hanya 11 hari selepas dipecat oleh Napoli ekoran masalah di luar lapangan selain membuat permulaan yang buruk dalam saingan Serie A musim ini.

Pengurus berbangsa Itali itu yang pernah menguruskan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea dengan meraih gelaran liga dan Piala FA pada 2010 — meneruskan tradisinya menjulang gelaran dalam kerjaya kejurulatihannya yang merangkumi tiga kejayaan Liga Juara-Juara (UCL).

Dia telah melatih dalam setiap satu daripada lima liga teratas di Eropah, justeru Everton percaya pelantikan Ancelotti dengan kontrak jangka panjang boleh dianggap sebagai rampasan kuasa bagi pasukannya.

“Berikutan proses yang ketat yang dilakukan oleh semua pengarah kami, kami berbesar hati untuk mengalu-alukan Carlo Ancelotti ke Everton,” katanya kepada laman sesawang The Toffees.

“Dia adalah salah seorang pengurus terbaik dalam dunia bola sepak dan juara yang terbukti setelah mencapai kejayaan luar biasa dalam setiap liga utama di Eropah.

“Dia merupakan pelantikan sempurna bagi kami, dia memandang visi kami terhadap kelab ini dan kami yakin semangatnya untuk membimbing Goodison di samping dengan kemampuan taktikal dan pengurusan manusianya yang terkenal akan membuatkannya berjaya dalam peranan ini.”

Unai Emery, Vitor Pereira dan Rafael Benitez sempat dikaitkan dengan tugasan kerusi panas itu tetapi Brands mengatakan Ancelotti merupakan pilihan pertama yang tidak diragui.

“Ini merupakan keputusan yang jelas dan menarik bagi ahli lembaga pengarah,” katanya. “Ia adalah pilihan sebulat suara dan kami semua bersatu sepenuhnya untuk membulatkan keputusan.

“Carlo telah membuktikan kredibilitinya untuk membina pasukan yang memenangi trofi dan kami berkongsi kegembiraan ini dengan peminat kami berhubung prospeknya untuk mengemudi pasukan kami pada tahun-tahun yang akan datang. Kami menaruh harapan tinggi untuk bekerjasama.”





Source link