[ad_1]

KUALA LUMPUR: Jentera kerajaan perlu mengambil perhatian serius bagi melaksana dan mempercepat pelaksanaan Belanjawan 2020 serta Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan, minggu lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan pelaksanaan perbelanjaan secara lebih berhemah dan mengurangkan ketirisan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Muhyiddin turut mahu perhatian diberikan kepada kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan serta setiap projek yang akan dilaksanakan perlu diperhalusi agar tidak membebankan komitmen kewangan dan hutang kerajaan.

“Perdana Menteri juga berpandangan peruntukan belanjawan tahunan seharusnya dapat mendatangkan pulangan besar kepada pertumbuhan ekonomi menjana pendapatan rakyat dan negara.

“Keberkesanan program dan projek kerajaan perlu dipertingkatkan lagi supaya setiap wang awam yang dibelanjakan dapat mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Kenyataan itu menyusul pasca pertemuan antara Muhyiddin dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen serta pegawai kanan kementerian terbabit.

Pada pertemuan itu, beliau diberi penerangan mengenai situasi ekonomi semasa, kedudukan fiskal dan hutang negara serta langkah pakej rangsangan itu selain memberi tumpuan kepada agenda untuk memperkasa aktiviti ekonomi domestik dan memastikan kesejahteraan rakyat, seterusnya melonjakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih kompetitif.

Pada pagi tadi, perdana menteri, mengadakan perjumpaan dengan kepemimpinan kanan Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selama lebih dua jam, bermula jam 9 pagi.

Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion yang dilancarkan Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, Khamis lalu, ditunjangi oleh tiga strategi untuk menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

Malaysia antara negara terawal mengumumkan pakej rangsangan selepas Singapura berbuat demikian menerusi Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai S$4 bilion (RM12 bilion) sebelum ini.



[ad_2]
Source link