KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) petang ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan berterusan bagi beberapa kawasan di Sarawak sehingga esok (Sabtu, 7 Disember).

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan kawasan terlibat ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu.

Sementara itu bagi Terengganu, Pahang dan Johor Timur keadaan hujan berterusan itu akan bermula esok hingga Ahad (8 Disember).

Kawasan yang terlibat ialah di Dungun dan Kemaman di Terengganu; Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang, serta Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor.

Angin kencang dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam (km/jam) juga dijangka boleh berlaku di perairan negeri berkenaan dengan ombak mencapai 3.5 meter.

“Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA





Source link