[ad_1]

AYER KEROH: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir hari ini mendedahkan kekecohan yang berlaku pada persidangan Kongres AMK 2019, Jumaat lalu, dirancang pihak tertentu.

Mendedahkan perkara itu di hadapan 880 perwakilan pada ucapan penggulungannya di dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Akmal berkata ia diperkuat dengan penularan melalui pesanan WhatsApp yang mengarahkan 30 individu mencetuskan kekecohan undi tidak percaya terhadap beliau.

“Saya agak terkejut apabila semalam seorang pemberi maklumat mengakui dan bercerita mengenai merancang keganasan dan terdapat bukti melalui pesanan WhatsApp,” katanya.

Menurut Akmal Nasrullah, mesej itu berbunyi,“Satu lagi, aku nak 30 orang hardcore untuk sekuriti masa kongres bawa Tony dan Syamil sekali, kunci pintu dewan dan buat undi tak percaya kepada Akmal. Tapi kena susun betul-betul, aku nak ‘hardcore’ tempur punya.

Pendedahan itu sekali gus menjadi kejutan kepada semua perwakilan yang hadir.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata beliau akan menyerahkan bukti pesanan WhatsApp itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Siapa yang hantar mesej ini? Siapa yang nak merosakkan dan memburukkan parti kita? Samseng bukan budaya kita.

“Saya akan serahkan kepada pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk siasat dan jika benar ada orang yang merekrut gengster untuk kacau AMK kita, wajib pecat serta merta dan siasat bawah Kanun Keseksaan Jenayah,” katanya.

Terdahulu, insiden kekecohan itu tercetus apabila pihak keselamatan cuba menghalang bekas Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Md Noor dari memasuki tempat persidangan.

Mizan Adli kemudian mendakwa ketua sayap parti itu, Akmal Nasrullah menggunakan gengster untuk menghalang beliau masuk ke Kongres Nasional AMK 2019 berkenaan.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham kemudian mendakwa Insiden kekecohan pada Kongres pada sayap parti itu merupakan ‘usaha terancang’ oleh pihak tertentu.

BACA: Kongres AMK kecoh, bekas pengerusi tetap dilarang masuk

Tanpa mendedahkan mana-mana pihak yang disyaki ujarnya, ia diperkuat dengan kehadiran sekumpulan pemuda berbaju hitam yang dilihat sengaja melakukan sabotaj dan kekecohan.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksinya pula menegaskan, pelaku dan dalang di sebalik kejadian itu tidak boleh dibiarkan terlepas.

Menyifatkan tindakan pelaku kekecohan itu sebagai biadap, Anwar telah meminta Lembaga Disiplin PRK memecat individu yang bertanggungjawab.



[ad_2]
Source link