LEICESTER 0 LIVERPOOL 4

Trent Alexander-Arnold berasakan Liverpool mempamerkan persembahan terbaik mereka setakat ini apabila mengatasi Leicester City 4-0 untuk mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan berkelebihan 13 mata.

Juara bertahan Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala Dunia Kelab, Liverpool semakin hampir untuk memenangi gelaran domestik selepas tiga dekad apabila mengatasi pencabar terdekat, The Foxes di Stadium King Power.

Roberto Firmino menjaringkan dua gol — kedua-dua hasil hantaran silang Alexander-Arnold, yang turut menemui sasaran sebelum kemenangan dilengkapkan sepakan penalti yang diambil James Milner.

Ia merupakan kemenangan ke-17 daripada 18 perlawanan EPL dan Alexander-Arnold berasakan ia adalah kemenangan terbaik mereka.

“Kami bermain sangat baik, terutama selepas mengharungi perjalanan yang jauh,” kata Alexander-Arnold kepada Amazon Prime.

“Ia merupakan persembahan terbaik kami bagi musim ini.

“Mendominasi hampir keseluruhan permainan dan tidak memberikan sebarang peluang kepada pasukan lawan dan menjaringkan empat gol merupakan sesuatu yang membanggakan.”

Walaupun Manchester City berpeluang untuk mengurangkan jurang jika mereka mengatasi Wolves hari ini, Liverpool masih lagi berkelebihan satu perlawanan ke atas juara bertahan itu.

Pada musim 1995-96, Newcastle United merupakan satu-satunya kelab dalam sejarah EPL memiliki kelebihan dua angka pada Hari Krismas dan gagal menjuarai liga.

Alexander-Arnold mengakui kelebihan yang dimiliki seakan hampir tidak dapat dipercayai.

“Kami sangat gembira berada dalam kedudukan ini. Sememangnya kami tidak akan mengambil mudah dan saingan musim ini belum berakhir lagi.

“Kami akan terus berusaha dan menggunakan peluang dengan sebaik mungkin.”





Source link