[ad_1]

KUCHING: Syarikat Penerbangan AirAsia Berhad bersetuju untuk meningkatkan jumlah penerbangan bagi laluan dua hala Kuching dan Sibu.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, penerbangan untuk kedua-dua laluan itu akan ditambah kepada 21 penerbangan berbanding tujuh penerbangan seminggu sebelum ini.

“Penambahan ini akan berkuat kuasa 1 Ogos 2020. Selain itu, AirAsia juga bersetuju untuk menambah penerbangan laluan sama kepada dua kali sehari bagi tempoh 17 hingga 31 Julai ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Kim Shin, sebelum ini, pihaknya menerima aduan dan maklum balas mengenai penerbangan terhad untuk laluan itu hingga menyukarkan orang ramai.

“Kami menerima banyak maklum balas dari penumpang, dan Kementerian Pengangkutan telah menulis surat kepada Airasia pada 2 Julai mengenai hal ini,” katanya.

Beliau berharap dengan peningkatan kekerapan penerbangan itu ia akan memenuhi permintaan orang ramai sekali gus mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri terutama sektor pelancongan domestik.

Setakat ini laluan penerbangan Kuching-Sibu-Kuching hanya dijalankan oleh AirAsia.



[ad_2]
Source link