[ad_1]

KUALA LUMPUR: AirAsia menegaskan tidak terlibat dalam sebarang penyiasatan oleh Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom (UK) membabitkan Airbus dan penyaluran maklumat serta pengesahan kepada SFO.

Ia susulan daripada sebuah artikel bertajuk “AirAsia directors/staff got RM240 mil bribe from Airbus, court docs say” yang merujuk kepada perjanjian tertentu oleh AirAsia yang menyaksikan salah laku berkaitan penajaan sebuah pasukan sukan yang dimiliki oleh eksekutifnya.

AirAsia dalam satu kenyataan pada Sabtu menafikan kesemua tuduhan dan salah laku berkenaan.

“Perjanjian pembelian pesawat tidak pernah dibuat berdasarkan keputusan individu sahaja, tetapi sebaliknya melalui penilaian yang teliti, perbincangan dan keputusan kolektif ahli lembaga selepas mengambil kira spesifikasi teknikal, prestasi penerbangan pesawat dan perbelanjaan operasi.

“Sebagai pelanggan Airbus sejak tahun 2005, AirAsia tidak pernah membuat keputusan pembelian berdasarkan kepada penajaan Airbus.

“Kami juga ingin menekankan bahawa semua rundingan dan urusan yang membawa kepada penandatanganan perjanjian pembelian pesawat telah dilakukan secara langsung dengan Airbus tanpa penglibatan pihak ketiga atau mana-mana perantara,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, artikel terbitan sebuah portal berita tempatan itu mendakwa AirAsia terlibat dalam menerima rasuah daripada Airbus.

Laporan itu turut menyatakan Airbus membayar AS$50 juta (RM204 juta) dan menawarkan AS$55 juta (RM225 juta) lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua eksekutif berkenaan.

AirAsia turut menyatakan bahawa tuduhan-tuduhan berkenaan hanya akan memberi kesan buruk dan negatif terhadap jenama dan reputasi AirAsia.

“Kami akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dalam perkara ini dan akan meneliti apa sahaja bentuk tuduhan melibatkan AirAsia atau mana-mana eksekutif.

“Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa yang berkaitan jika diperlukan,” kata kenyaaan itu lagi.



[ad_2]
Source link