PENGASUH Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak menyangka bayi yang diasuhnya sejak berusia tiga hari kini menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Bagi Hasimah Mohd Ali, 84, Al-Sultan Abdullah atau lebih mesra dipanggil Tengku Alam sememangnya mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang disukai rakyatnya.

Dia akui berbangga dengan pencapaian Al-Sultan Abdullah malah tidak sabar melihat baginda ditabalkan sebagai Ketua Negara.

“Tuanku seorang yang tidak meragam ketika bayi dan merupakan seorang anak yang pendiam, manja dan sangat baik pekertinya.

“Sifat Tuanku sebagai seorang pemimpin sudah ada sejak kecil, mak cik yakin Tuanku akan menjadi seorang pemimpin yang baik dan dekat dengan jiwa rakyat,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Mengkasar, Pekan.

Sehingga kini hubungannya dengan Al-Sultan Abdullah masih rapat walaupun hanya menjaga Sultan Pahang sehingga umur enam tahun. Dia dipanggil Mak Cik Semah dari kecil sehingga sekarang baginda.

Hubungan rapat baginda dengannya pada masa kecil begitu terserlah. Hasimah masih ingat peristiwa Al-Sultan Abdullah dikhabarkan patah tangan ketika memanjat pokok rambutan. Dia yang ketika itu tidak lagi menjaga Tuanku kerana telah berkahwin dan sedang mengandung anak sulung, dipanggil pihak istana untuk menjaga Tuanku di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Mak cik diberitahu baginda asyik memanggil nama mak cik sambil menangis sebab mahu mak cik menjaganya.

“Tiba di hospital, mak cik dukung dan bawa ke bilik bedah. Alhamdulillah baginda selamat jalani pembedahan. Selama dua minggu mak cik berada di Kuala Lumpur untuk jaga baginda,” ceritanya.

Hasimah tidak menyangka ketika berusia 18 tahun dilantik sebagai pengasuh Al-Sultan Abdullah. Dia terpilih dan dipanggil oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota Pahang.

“Mak cik ketika itu telah menetap di Istana Mangga Tunggal di Pekan dan menjadi pengasuh sebelum baginda menduduki sekolah rendah.

“Tuanku seorang yang tidak cerewet dalam memilih makanan. Baginda ketika kecil suka menyapu roti dengan mentega dan dicecah dengan telur separuh masak.

“Baginda sememangnya seorang yang dekat dengan rakyat. Suka berjumpa dengan rakyat yang dilanda bencana.. Semoga perjuangan baginda sentiasa dirahmati ALLAH,” doanya.

Bagi Hasimah, walaupun kenangan itu telah lama berlalu namun menjaga Al-Sultan Abdullah suatu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan dan akan dikenang sepanjang hayat.





Source link