[ad_1]

PUTRAJAYA: Tiada campur tangan kerajaan dalam penentuan hukuman atau denda kepada mana-mana individu yang disabitkan bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan ) itu, keputusan tersebut bergantung kepada budi bicara badan kehakiman berdasarkan fakta-fakta kes.

“Jadi, ianya terserah kepada budi bicara mahkamah untuk menentukan hukuman-hukuman yang dikenakan oleh mereka dan kita kerajaan tidak campur sebab itu saya kata, kebebasan badan kehakiman untuk membuat keputusan.

“(Perbezaan denda di bawah Akta 342) mungkin kerana fakta kes yang berbeza, dan itu yang menyebabkan hakim memutuskan sedemikian,” katanya dalam sidang media harian, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai reaksi segelintir pihak susulan terdapat perbezaan bayaran denda terhadap pesalah yang ingkar PKP di mana terdapat pesalah yang dikenakan hukuman denda RM400, RM500, RM800 dan RM1,000.

Terdahulu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau juga dikenali sebagai Akta 342 digunakan di negara ini susulan penularan COVID-19.

Ia digubal untuk meminda dan menyatukan undang-undang berkait pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit yang berlaku dalam negara. Ia juga untuk mengadakan peruntukan atau peraturan berkenaan perkara yang berkaitan.

Selain itu, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 ini turut memperuntukkan sesiapa yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang tersebut akan didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.



[ad_2]
Source link