[ad_1]

MEMBAKUT: Sebanyak 97 keluarga terpaksa berteduh di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman masing-masing terjejas dalam kejadian banjir di daerah Membakut pada Selasa.

Mangsa banjir kilat yang terdiri daripada seramai 268 orang itu melibatkan penduduk di tujuh perkampungan di sekitar daerah Membakut.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Bakalau, Kg  Jambatan Baru, Kg Baitam Baru, Kg Baitam, Kg Lumantak, Kg Takapan dan Kg Baitam Laut.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort, Mohd Mayroof Koibil ketika dihubungi berkata, kesemua mangsa telah ditempatkan di PPS Selagon secara berperingkat sejak pagi tadi.

“Setakat jam 5 petang tadi, kita merekodkan 97 buah keluarga dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir kilat di daerah ini.

“Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses pemindahan itu  dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku itu adalah susulan daripada hujan lebat sejak kelmarin.

Beberapa laluan masuk ke kampung yang terjejas turut tidak dapat dilalui kenderaan akibat dinaiki air.



[ad_2]
Source link