PASIR PUTEH: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali berjaya mematahkan cubaan menyeludup musang dan kura-kura bernilai RM19,000 dalam Ops Landai di kawasan tepi Sungai Semerak berhampiran Jeti Tamansara Sdn Bhd, di sini, semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan pada jam 11 pagi itu, sebanyak 90 ekor musang dan 14 ekor kura-kura dirampas hasil maklumat orang ramai.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, berdasarkan hasil risikan, pihaknya percaya kesemua haiwan berkenaan untuk diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut.

“Kesemua haiwan itu yang ditemui itu diletakkan di dalam sangkar dan disembunyikan di dalam semak.

“Bekalan haiwan itu diperolehi daripada penduduk setempat, di mana mereka mengumpul dan menyorokkan haiwan berkenaan di suatu tempat sebelum diserahkan kepada penyeludup kerana mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar makanan eksotik di Thailand dan Vietnam, ” katanya dalam sidang media di Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tok Bali, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tidak ada tangkapan dibuat kerana tiada individu yang datang mengaku sebagai pemilik selepas beberapa jam pihak kami merampas haiwan eksotik ini.

“Kesemua haiwan yang dirampas itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Kes akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan dan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, harga pasaran bagi seekor musang adalah RM200 manakala kura-kura pula dijual dengan harga RM14 untuk satu kilogram.

“Pihak kami sentiasa terus komited bagi mengekang aktiviti penyeludupan haiwan eksotik dan bekerjasama dengan PERHILITAN selain mempergiatkan operasi di kawasan perairan yang berdekatan sempadan,” tambahnya.





Source link