ISKANDAR PUTERI: Selepas masuk hari ke-10 kebakaran hutan di Jalan Tanjung Adang, Kampung Pekajang, Gelang Patah seluas 16 hektar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berjaya memadamkan 85 peratus kawasan yang terjejas.

Ketua Zon 1 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamad Faizul Selamat berkata usaha pemadaman kebakaran itu  melibatkan tiga sektor, dengan hasil kerja 133 anggota termasuk 80 anggota JBPM.

Turut terlibat adalah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Kerja-kerja pemadaman turut menggunakan lima aset jentera tangki air dan lapan jentera pengorek.

Katanya pemantauan dan operasi pemadaman akan diteruskan di sektor satu, dua dan tiga.

Pada 21 Ogos lalu, 16 hektar hutan terbakar antara lain akibat cuaca panas dan kering yang berlaku dua kali sepanjang tahun ini iaitu pada Februari dan Mac serta Ogos dan September.

Sepanjang tahun ini sehingga 24 Ogos lalu terdapat 4,680 panggilan kes kebakaran terbuka dengan keluasan 107,358.09 hektar.





Source link