BANGI: Kira-kira 5,000 aduan berkaitan penulisan atau provokasi bersifat menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW yang diterima melalui unit pemantau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata ia adalah sebahagian daripada puluhan ribu aduan yang diterima unit berkenaan sejak ditubuhkan pada bulan `Mac bagi memantau penulisan berbentuk provokasi di semua platform media termasuk media sosial.

“Sejak talian aduan dibuka, kita terima berpuluh-puluh aduan di mana ada satu ketika unit itu menerima sehingga 10,000 aduan sehari.

“Daripada jumlah itu, lebih kurang 5,000 aduan telah dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika menjawab soalan peserta pada Seminar Islam Rahmatan Lil Alamin dan Townhall Maqasid Syariah hari ini.

Seminar yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam di sini itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jakim Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz.

“Daripada aduan itu, difahamkan empat kes telah disabitkan di mahkamah dan pelakunya telah dijatuhkan hukuman,” katanya.

Beliau berkata langkah menubuhkan unit pemantau yang bekerjasama dengan PDRM dan SKMM itu menunjukkan pihaknya tidak berdiam diri dalam menjaga kepentingan Islam walaupun secara perundangan akta mengenainya bukan di bawah bidang kuasanya.

Beliau menarik perhatian bahawa daripada aduan yang diterima, terdapat akaun palsu yang sengaja diwujudkan individu tertentu bagi membangkitkan sentimen perkauman melalui tulisan provokatif berkaitan agama yang dimuat naik di media sosial.

Dilancarkan pada 8 Mac lepas rentetan kes-kes menghina Nabi Muhammad SAW dan perbuatan mempersendakan agama Islam, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan boleh membuat aduan ke ke aplikasi WhatsApp di talian hotline 010-3005260 atau e-mel kepada aduan@islam.gov.my.

— BERNAMA





Source link