[ad_1]

SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

1. Semua perhimpunan, mesyuarat antarabangsa ditangguh

Kerajaan memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa ditangguhkan hingga 30 April depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu diambil bagi menangani penularan COVID-19 di negara ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pada itu memaklumkan 39 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah 197 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, daripada kes ini, sebanyak 38 kes dikesan di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19 dan satu kes dari kalangan kontak rapat.

Kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang, selain Hokkaido, Jepun; Itali; Iran dan Republik Korea.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan COVID-19.

Berita berkaitan:

Pesta Kaamatan 2020 dibatalkan ekoran COVID-19

Lelaki yang ‘lari’ dari klinik dihantar ke Hospital Sungai Buloh

Solat Jumaat di Perlis hari ini diganti dengan solat Zohor

Tiada solat Jumaat, umat Islam Singapura terima demi kebaikan negara

Solat Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan diteruskan

Tiada pembatalan solat Jumaat di Indonesia

2. AS isytihar darurat

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengisytiharkan jangkitan wabak COVID-19 sebagai darurat di seluruh negara.

Keputusan itu diambil selepas Washington bergelut membendung penularan jangkitan virus yang setakat ini telah menjangkiti lebih 2,000 dan mengorbankan lebih 40 mangsa.

Langkah itu juga membolehkan dana kecemasan AS$50 bilion (kira-kira RM215 bilion) diagih kepada kerajaan negeri dan tempatan bagi mengambil langkah membendung wabak itu.

3. Faizal Azumu MB Perak ke-13

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di Istana Iskandariah pada jam 3.45 petang Jumaat.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Istiadat angkat sumpah itu sekali gus mengakhiri persoalan dan teka-teki selama tiga hari mengenai siapakah yang akan menduduki kerusi itu selepas beliau melepaskan kerusi itu pada Selasa lalu.

Ahmad Faizal dalam pada itu menzahirkan rasa syukur selepas beliau sekali lagi dilantik menjawat jawatan itu dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, proses peralihan berjalan dengan lancar selain pemimpin komponen PN menunjukkan sifat berlapang dada ekoran keputusan yang dibuat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

4. Bursa Malaysia di paras terendah sejak lebih 12 tahun

Bursa Malaysia mencatatkan kejatuhan paling buruk sejak krisis subprima pada 2008, menyusul kejutan pasaran Amerika Syarikat pada Khamis.

Pada penutup FBM KLCI jatuh 74.68 mata atau 5.26 peratus kepada paras 1,344.75 mata. Ia mencecah tahap terendah pada 1,320.96 mata semasa dagangan Jumaat.

Bursa Malaysia susut 6.27 peratus semasa mengakhiri dagangan sesi pagi susulan penjualan di seluruh papan.

5. Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguh

Semua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dijadualkan minggu depan ditangguhkan susulan pandemik novel koronavirus (COVID-19).

Menurut badan induk bola sepak England, penangguhan hingga 4 April itu dibuat selepas pengendali Arsenal, Mikel Arteta dan pemain sayap Chelsea, Callum Hudson-Odoi sah dijangkiti COVID-19.

Sementara itu memetik laporan BBC, Persatuan Bola Sepak England (FA) turut menangguhkan semua aksi profesional sehingga 3 April depan.



[ad_2]
Source link