[ad_1]

SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

1. PIACCF untuk petugas anti-rasuah

Inisiatif Malaysia, ‘Perdana International Anti-Corruption Champion Fund’ (PIACCF) akan dilancarkan hari ini untuk menyalurkan bantuan kepada petugas agensi anti-rasuah di seluruh dunia.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyempurnakan majlis pelancaran tabung berkenaan.

Menurut Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti Dan Anti-Rasuah Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Malaysia negara pertama akan menyumbang ke dalam tabung berkenaan berjumlah RM500,000.

Dana itu bertujuan menyalurkan bantuan kepada pegawai agensi anti-rasuah yang menjadi sasaran atau terdedah kepada ancaman terhadap nyawa, keselamatan dan maruah mereka ketika menjalankan siasatan.

2. Balai Seni Negara turunkan karya Ahmad Fuad Osman

Balai Seni Negara pada Isnin mengesahkan empat karya Ahmad Fuad Osman telah diturunkan, sempena pameran “At The End Of The Day, Even Art is Not Important” setelah diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.

Karya yang terlibat adalah ‘Untitle 2012’, ‘Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody’, ‘Imitating the Mountain 2004’, dan ‘Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik’.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah Balai Seni Negara Amerruddin Ahmad berkata pihaknya berhak menurunkan karya-karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat dan negara.

3. Terkini koronavirus 

Kementerian Kesihatan memaklumkan sejumlah 22 kontak rapat dikesan melibatkan kes ke-18 yang disahkan positif novel koronavirus.

Ia susulan kes seorang lelaki lelaki warga Malaysia berusia 32 tahun yang baharu pulang dari Macau, China pada 1 Februari lalu dan disahkan positif koronavirus pada 9 Februari lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, tiga daripadanya ahli keluarga sementara 19 lagi petugas kesihatan.

Sementara itu, di peringkat antarabangsa, pasukan khas pakar perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini berada di China bagi menyiasat mengenai wabak itu.

Ketuanya Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan, ia menyusul lawatan beliau pada akhir bulan lepas yang bersetuju menghantar misi antarabangsa bagi penyiasatan koronavirus.

Katanya, ia mengambil masa dua minggu untuk China bersetuju dengan pasukan penyiasatan berkenaan.

4. Parasite cipta sejarah di Oscars 2020

Sejarah tercipta di Hollywood apabila filem Korea Selatan, Parasite menjadi filem bukan berbahasa Inggeris pertama dinobatkan sebagai filem terbaik di Anugerah Akademi ke-92.

Prestasi cemerlang Parasite di anugerah yang berlangsung pada Ahad itu mungkin sudah dijangka ramai, tetapi tidak bagi warga Korea Selatan sendiri.

Bagi rakyat negara itu yang menonton siaran langsung anugerah tersebut, mereka terkejut dengan kejayaan filem itu mencipta sejarah.

5. Pemergian pelawak popular Abam 

Industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita menyedihkan pada Isnin apabila pelawak popular Abam daripada kumpulan Bocey meninggal dunia.

Abam yang disayangi ramai peminatnya itu meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Gombak selepas mengalami demam sejak beberapa hari lalu.
Berita pemergian pemilik nama sebenar Syed Umar Mukhtar itu menerima ucapan takziah termasuk daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.



[ad_2]
Source link