[ad_1]

SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

1. Malaysia catat tujuh kes positif 2019-nCoV

Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat pertambahan tiga kes positif jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) di negara ini.

Ia sekali gus menjadikan keseluruhan tujuh kes positif dilaporkan di negara ini sejak 25 Januari lalu.

Tiga kes terbaharu melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang kini dirawat di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, seorang lelaki berusia 52 tahun di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan menantu perempuan kepada mangsa pertama kes positif di Singapura yang kini ditempatkan di Hospital Sungai Buloh.

2. Bekalan penutup hidung dan mulut mencukupi

Ketika mana kes positif novel koronavirus dicatatkan di negara ini terus meningkat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna memberi jaminan bekalan topeng mulut dan hidung mencukupi di seluruh negara.

Menteri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan maklum balas pengguna, tiada aduan pengurangan bekalan tersebut.

Malah katanya, isu novel koronavirus tiada kaitan sama sekali dengan pengurangan bekalannya.

3. AirAsia terus batal penerbangan ke Wuhan

Dalam pada itu, AirAsia pula melanjutkan pembatalan sementara semua penerbangannya dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket ke Wuhan, China, yang bermula 23 Jan lalu, sehingga akhir bulan depan.

Serentak itu, syarikat berkenaan memaklumkan pelanggan dengan tempahan penerbangan dari dan ke semua destinasi di tanah besar China boleh memperolehi akaun kredit atau pulangan bayaran penuh.

4. 2019-nCoV: Risiko di peringkat global tinggi

Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, risiko novel koronavirus di peringkat global berada pada tahap tinggi, namun menegaskan, jangkitan penularannya disifatkan darurat hanya di China.

Menurut jurucakap WHO Christian Lindmeier, analisis pihaknya menjurus kepada kekuatan virus baharu itu tidak merebak secara besar-besaran di luar China.

Bagaimanapun, katanya, ia merebak secara pantas di beberapa bandar di China sejak mula dikesan di Wuhan 31 Dis lalu.

Sehingga Rabu, 4,428 kes dilaporkan positif novel koronavirus di China, dengan 107 kematian dicatatkan.

Malah, novel koronavirus juga sudah menjangkiti ke 18 buah negara di luar China, termasuk terbaharu di Sri Lanka dan Jerman.

5. Huawei 5G dibenarkan di Britain 

Britain mengambil keputusan untuk membenarkan syarikat gergasi teknologi China, Huawei, membekalkan peralatan rangkaian berkelajuan tinggi baharu di negara itu.

Keputusan itu sekali gus mengabaikan amaran kerajaan Amerika Syarikat untuk memutuskan kerjasama risikan jika syarikat itu tidak diharamkan.

Menurut Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab, syarikat itu akan dikecualikan dari membekalkan bahagian penting dan sensitif bagi rangkaian generasi kelima (5G) itu.

Keputusan Britain itu disifatkan sesuatu yang mengejutkan.

Ia menjadi negara pertama di Eropah berbuat demikian meskipun terdapat tuduhan bahawa kedaulatan Britain boleh tercemar jika Huawei diberi peluang.

Raab berkata, Britain berpendirian, keputusan itu tidak akan mengancam keselamatan negara terbabit.



[ad_2]
Source link