SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:

1. Isu Influenza

Pesakit yang dijangkiti virus influenza disaran mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan antiviral, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata penggunaan ubat antiviral dapat mengurangkan simptom serta komplikasi penyakit namun ia perlu digunakan secara rasional bagi mengelakkan kerintangan antimikrobial (antimicrobial resistance) yang menyebabkan rawatan tidak berkesan.

Sementara itu, beliau mengakui stok simpanan oleh pembekal swasta vaksin influenza telah habis pada ketika ini dan sejumlah 99,470 dos lagi akan dibawa masuk pada bulan ini.

2. Konflik Iran-AS

Kem Taji di utara Baghdad yang menempatkan sebahagian besar tentera Amerika Syarikat diserang dua roket Katyusha.

Tiada korban dilaporkan dalam insiden itu dan setakat ini tiada kumpulan mengaku tanggungjawab.

Sementara itu, Iran menahan individu yang didakwa terlibat dalam insiden pesawat Ukraine yang terhempas minggu lalu, termasuk orang yang merakam dan menyebarkan rakaman tersebut.

3. Momota sudah discaj? Dijangka pulang hari ini

Pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota dan tiga lagi yang cedera dalam kemalangan awal pagi di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di Serdang, dipercayai telah keluar dari Hospital Putrajaya, malam tadi.

Pemain badmonton nombor satu dunia itu dijangka pulang ke Jepun awal pagi ini.

4. Letusan gunung berapi Taal

Seramai 19 pelajar Malaysia yang menuntut di Adventist University of the Philippines (AUP) di wilayah Batangas dipindahkan ke Manila susulan letusan gunung berapi Taal.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pemindahan itu dilakukan ekoran keadaan yang semakin kritikal termasuk pengisytiharan cuti kecemasan yang diumumkan Pejabat Presiden Filipina.

5. e-Tunai Rakyat

Rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima RM30 melalui program e-Tunai Rakyat yang dilancarkan mulai hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan memperuntukkan RM450 juta dengan kerjasama tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go eWallet yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia.

Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Selasa di sini.




Source link