[ad_1]

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan daripada 41 buah syarikat berjumlah RM6.182 juta dalam satu majlis penyerahan di Wisma PKPS, Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan Mat Yusop berkata, komitmen berkenaan menunjukkan  kepercayaan syarikat korporat di Selangor semakin meningkat terhadap LZS.

Malah, ketika ini semakin banyak syarikat baharu yang tampil menunaikan zakat perniagaan.

“Ini adalah program tahunan kita dan kita menjemput syarikat-syarikat untuk membayar zakat. 41 syarikat telah tampil untuk mengeluarkan zakat kepada LZS. Ini menunjukkan bahawa kepercayaan syarikat-syarikat korporat kepada LZS semakin meningkat dan kita dapati hari ini banyak syarikat-syarikat baharu yang membayar zakat kepada kita. Ini satu perkembangan yang baik dan bermakna.

“Mereka juga ingin membantu kita. Selain membantu penerima zakat, mereka juga membantu kita untuk cuba membangunkan asnaf yang kita sebutkan tadi. Program hari ini kita bersyukur kerana semakin lama semakin ramai syarikat yang tampil membantu kita,” katanya dalam sidang  media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2019 di sini pada Rabu.

Cyberview Sdn Bhd mendahului senarai syarikat berkenaan dengan menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM951,200.11, diikuti Radicare (M) Sdn Bhd RM676,485 dan Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn Bhd RM500,000.

Syarikat lain termasuk Dagang Net  Technologies Sdn Bhd (RM446,168), Tradewinds International Insurance Brokers Sdn Bhd (RM400,000), TM Auro Lease Sdn Bhd (RM381,318) dan PWN Exellence Sdn Bhd (RM317,443.87).

Pada majlis itu, LZS turut menyampaikan pelbagai bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM196,154.

Lima syarikat pengeluar zakat turut menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM737,565.50.

Dalam pada itu, LZS juga ingin bekerjasama dengan syarikat-syarikat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) atau bentuk bantuan lain seperti latihan kemahiran.

“Sebagai contoh, mungkin ada syarikat tertentu boleh menyediakan latihan untuk menguruskan restoran. Ada banyak syarikat besar mempunyai skim sebegini yang mana boleh melatih anak-anak kita ataupun pelajar-pelajar habis belajar untuk jadi pengurus,” ujar Saipolyazan.

Tambahnya, perancangan masa depan dilakukan LZS untuk anak-anak golongan Asnaf juga bagi membolehkan mereka dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

 



[ad_2]
Source link