LIPIS: Daerah ini mula dilanda banjir apabila seramai 268 mangsa daripada 68 keluarga dipindahkan ke satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS)  berikutan hujan lebat sejak malam Ahad lalu.

Berdasarkan laporan portal maklumat bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 3.25 petang, kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah.

Difahamkan kejadian banjir berlaku susulan hujan lebat yang bermula sejak malam Ahad, dan pihak berkuasa telah memindahkan penduduk kampung yang terbabit ke PPS.

Pihak berkuasa juga telah memberi bantuan bekalan makanan basah, selimut, bantal dan keperluan lain, selain turut disertai pihak pengurusan komuniti kampung.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dalam hantaran di Facebooknya berkata, banjir berpunca daripada ledakan air dari Sungai Berhamah dan Sungai Merapoh ke Sungai Tanum akibat hujan lebat sejak malam kelmarin.

“Ini memberi kesan kepada penduduk Kampung Chegar Perah sehingga menyebabkan mereka terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara,” katanya.




Source link