[ad_1]

KAJANG: Sebanyak 17 persatuan Cina termasuk Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan polis memohon perintah larangan daripada mahkamah terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina yang dijadualkan berlangsung pada hari ini.

Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng menegaskan, kebebasan berhimpun dan bersuara merupakan hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak polis seharusnya mengambil tindakan terhadap individu dan kumpulan yang sengaja mengancam dan mengganggu Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina dijalankan secara aman.

“Ini merupakan tanggungjawab polis, bukannya menyalahgunakan prosedur kehakiman yang telah merampas kebebasan bersuara kami sebagai penganjur yang mematuhi undang-undang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, persidangan tersebut bertujuan menyuarakan pandangan berhubung pelaksanaan tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan (SJK) demi mencari jalan melalui berdialog, bukannya konfrontasi.

“Persidangan ini bukan sahaja mendapat sokongan daripada masyarakat Cina tetapi juga disertai oleh masyarakat India, ahli akademik kaum Melayu serta wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak.

“Persidangan ini sememangnya akan dijalankan secara aman dan rasional, kami juga menyeru semua peserta harus mematuhi prinsip ini.

“Persidangan ini langsung tidak seperti perhimpunan pihak lain yang sengaja mencetuskan sentimen perkauman dan menjejaskan keharmonian negara,” katanya.

Jelasnya, setakat 27 Disember 2019, sebanyak 1,118 SJKC dan Pertubuhan Cina telah menyatakan sokongan kepada persidangan ini.

“Selain itu, lebih daripada 900 SJKC telah menandatangani untuk menyatakan pendirian tidak setuju terhadap pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi di SJKC yang bukan dalam konteks kepelbagaian,” katanya.

Dalam pada itu, Chai Heng berkata, sekiranya kementerian meneruskan dasar tersebut, ia akan menyebabkan berlakunya ketegangan hubungan antara rakyat dengan kerajaan.

“Seterusnya ia akan menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Maka, kerajaan seharusnya menunjukkan keikhlasan dan mengambil tindakan yang wajar untuk mengubah dasar-dasar yang menimbulkan kebimbangan masyarakat,” katanya.

Semalam, polis mendapatkan perintah mahkamah supaya Dong Zong tidak meneruskan kongres wakil pertubuhan Cina yang dijadualkan diadakan di Kolej New Era hari ini.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, perintah tersebut diserahkan pada pihak Dong Zong pada jam 5 petang semalam.



[ad_2]
Source link