[ad_1]

KUALA LUMPUR: Sejumlah 17 pemaju projek rumah mampu milik kini dibenarkan menjual unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dibangunkan mereka.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata ia susulan 17 pemaju perumahan itu memperbaharui perjanjian rakan kongsi dengan PR1MA.

“17 daripada 94 pemaju telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pelan penyelesaian yang dirangka Lembaga Pengarah PR1MA.

“Ini merupakan fasa pertama dan 17 pemaju ini telah menyelesaikan 90 peratus daripada pembinaan projek di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan dokumen perjanjian PR1MA pada Jumaat.

Tambahnya, pemaju projek PR1MA sebelum ini hanya dibenarkan membina rumah, tetapi kini, mereka dibenarkan menjual untuk menampung 10 peratus lagi nilai projek yang perlu disiapkan.

“Mereka sudah siap 90 peratus dan berbaki 10 peratus lagi.

“Jika sebelum ini mereka hanya dibenarkan membina rumah tetapi kini dibenarkan menjual untuk menampung 10 peratus lagi nilai projek yang perlu disiapkan,” katanya.

“Semua rumah dijual pada harga RM300,000 dan ke bawah dengan diskaun harga 30 peratus, maka kebanyakan rumah dijual pada harga RM250,000,” katanya.

Katanya lagi, PR1MA akan berunding dengan kira-kira 500 pembeli awal rumah mampu milik yang ingin mendapatkan 30 peratus diskaun.

Buat masa ini, terdapat 94,191 unit rumah PR1MA di seluruh negara, di mana 13,359 unit telah siap dibina dan 42,777 lagi yang masih dalam pelbagai peringkat pembinaan.

PR1MA menyasarkan untuk menyiapkan 4,082 unit menjelang akhir tahun ini.



[ad_2]
Source link