ALOR SETAR: Lima belas pengunjung sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, Kedah panik apabila terperangkap hampir 15 minit apabila lif berkenaan rosak.

Menurut Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail, pihaknya menerima panggilan jam 3.29 petang dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi empat minit kemudian.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkiflee Md Esa bersama sebuah jentera, sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah motosikal RIM.

Salah seorang daripada mangsa yang mengalami masalah sesak nafas. - JBPM

Kesemua mangsa dapat diselamatkan dengan bantuan penyelenggara lif sejurus anggota bomba tiba di lokasi kejadian.

Kejadian itu membabitkan dua unit lif di tingkat tiga dan tingkat bawah kompleks berkenaan.

Terdapat juga mangsa mengalami keletihan akibat sesak nafas dan telah menerima rawatan oleh unit EMRS.

Ini merupakan kejadian pertama melibatkan mangsa terperangkap dalam lif di kedah sejak pusat beli-belah itu dibuka lima tahun lalu.





Source link