SEBANYAK 12 pasukan telah diumumkan sebagai peserta di kejohanan ONE Esports Dota 2 Singapore World Pro Invitational yang akan berlangsung bulan depan.

Kejohanan jemputan yang akan diadakan di Stadium Tertutup Singapura bakal menyaksikan pasukan-pasukan e-sukan dunia berentap untuk memenangi hadiah terkumpul bernilai AS$500,000 (RM2,077,365).

Pasukan-pasukan tersebut ialah Alliance, Evil Geniuses, Gambit, J.Storm, Natus Vincere, PSG.LGD, Team Aster, Team Liquid, Team Secret, TNC Predator, Virtus.pro and Vici Gaming.

Selain itu, terdapat juga sesi bertemu peminat oleh pasukan-pasukan Dota2 yang terpilih.

Acara tersebut akan turut menampilkan hos e-sukan wanita terkenal, Sheever dan beberapa lagi nama besar seperti TobiWan, BSJ, ODPixel, Fogged, Black^, Trent, Capitalist, dan bintang Cosplay, Redemption Props.

Sementara itu, ketua pengarah eksekutif ONE Esports, Carlos Alimurung dalam kenyataannya berkata acara itu akan menjanjikan pengalaman yang menakjubkan bagi penonton dan pasukan-pasukan yang bertanding.

“Peminat bukan sahaja dapat menyaksikan persaingan yang hebat di antara pasukan-pasukan terbaik dunia Dota2, tetapi juga pertunjukan-pertunjukan hebat dari pemain cosplay dan bakat-bakat yang hadir,” katanya.

Kejohanan ONE Esports Dota 2 Singapore World Pro Invitational akan diadakan pada 20 hingga 22 Disember ini.

Acara yang berlangsung selama tiga hari itu merupakan acara ONE Esports Dota 2 World Pro Invitational yang pertama dianjurkan oleh ONE Esports.





Source link