KUALA LUMPUR: Selain daripada jualan dalam talian terbesar selama sehari pada 11.11, pandangan akan tertumpu kepada Datuk Seri Najib Razak apabila Mahkamah Tinggi di sini menyampaikan keputusannya dalam kes berprofil tinggi bekas perdana menteri itu yang berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, 66, berkhidmat sebagai perdana menteri keenam Malaysia dari April 2009 hingga Mei 2018, dan merupakan perdana menteri pertama di negara ini  yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadual mengumumkan keputusannya pada jam 10 pagi.

Mahkamah akan menentukan sama ada untuk memerintahkan Najib membela diri, atau membebaskannya daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC.

Sekiranya Najib diperintahkan membela diri, beliau perlu menjawab pertuduhan terhadapnya.

Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai tiga pilihan untuk membela diri.

Pilihan itu adalah memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi, yang mana beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Keterangan dari tempat duduk saksi akan lebih meyakinkan mahkamah berbanding dua pilihan lagi. Jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan melainkan mensabitkan tertuduh.

Hakim Mohd Nazlan sebelum ini menetapkan 3 dan  4 Dis,  9 hingga  12 Dis, dan 16 hingga 19 Dis untuk  Najib membela diri jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Pada 22 dan 23 Okt lepas, mahkamah mendengar penghujahan panjang lebar daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan. Pendakwaan, pada 27 Ogos lepas, menutup kes selepas perbicaraan selama  58 hari dan memanggil  57 saksi untuk memberi keterangan.

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas selain dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram, manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula mengetuai kumpulan peguam bela.

Semasa perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank Najib; dokumen berkaitan transaksi tunai; minit mesyuarat dan perbualan dalam Blackberry Messenger berkaitan transaksi oleh Najib.

Saksi yang dipanggil memberi keterangan termasuk pengurus cawangan Ambank Jalan Raja Chulan  R. Uma Devi, 40; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) Datuk Azian Mohd Noh, 66; Tan Sri Ismee Ismail, 54, seorang bekas anggota Lembaga Pengarah SRC; dan Pengarah Bukan Eksekutif SRC  Datuk Suboh Md Yassin, 68.

Turut memberi keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan  Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67; bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping, 48; bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67; dan Penolong Pesuruhjaya Kanan (Bahagian Operasi Khas) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang juga pegawai penyiasat, Rosli Husain, 54.

Najib mula dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai  2018 untuk berdepan tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Pada 8 Ogos, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana sama. Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan semua pertuduhan digabungkan dalam satu perbicaraan.

Beliau didakwa melakukan tujuh kesalahan itu antara  17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.

Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, serta Penasihat  Emeritus  SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada  RM4 bilion kepunyaan SRC.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Dis 2014, dan 29 Dis 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC, di tempat sama antara 10 Feb 2015, dan 2 Mac  2015.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum  20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan  Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb  2012.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga  20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing  RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya yang bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Dis 2014, dan 10 Feb  2015, mengikut Seksyen  4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika disabitkan kesalahan, bekas perdana menteri itu berdepan, bagi setiap pertuduhan, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi, yang boleh dihukum mengikut Seksyen  4(1) akta sama.

— BERNAMA





Source link