Warga asing termasuk pendatang dan pelarian tiada dokumen terus muncul dalam jumlah yang besar di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil sejak awal pagi tadi untuk merebut peluang terakhir menjadi menerima dos pertama vaksin Covid-19 secara jalan masuk (walk-in).

Ketika dihubungi, pengurus PPV itu Dr Yunus Tauhid berkata sebanyak 10,000 dos diperuntukkan pada hari terakhir kemudahan jalan masuk kepada warga asing.

“Buat masa ini, semuanya terkawal. Kami masih membenarkan walk-in sehingga vaksin yang disediakan habis,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi sekitar jam 3 petang tadi.

Di peringkat pengurusan PPV, katanya tiada keputusan yang dibuat untuk meminta warga asing terbabit pulang, bahkan mereka didapati telah berkhemah di luar stadium malam sebelumnya.

“Tetapi jika polis mendapati keadaan di luar kawalan mereka boleh membuat keputusan untuk meminta mereka pergi.

“Jumlah dos harian berubah. Semalam, kami mempunyai 12,000 dos. Kami juga melihat jumlah untuk dos kedua.

“Akan ada lebih banyak dos pertama yang diberikan sekiranya jumlah janji dos kedua tidak terlalu tinggi,” katanya.

Vaksinasi secara jalan masuk untuk warga asing ditawarkan di Stadium Bukit Jalil dari 2 Ogos hingga 22 Ogos, dan Yunus berkata antara masalah yang dihadapi termasuk isu bahasa dan jurang teknologi.

“Ada sebilangan warga asing itu tidak tahu menulis. Kami mempunyai penterjemah di lokasi untuk membantu mereka.

“Tetapi secara keseluruhan, proses vaksinasi bagi mereka yang mempunyai janji temu lebih lancar berbanding walk-in,” katanya.

Agar lebih selamat, selesa

Yunus berkata, bukan warganegara yang memilih untuk mendapatkan dos tanpa janji temu akan menerima makluman lokasi bagi dos kedua mereka melalui MySejahtera.

Sementara itu mereka yang belum menerima vaksin ketika ini hanya dapat melakukannya dengan mendaftar di aplikasi disediakan.

Pada masa sama, Yunus berkata para migran dan pelarian yang tidak berdokumen tidak perlu takut ditangkap kerana mereka telah diberi peluang untuk menerima vaksin.

Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) awal hari ini mengesahkan penamatan kemudahan vaksinasi jalan masuk untuk warga asing di PPV.

“Langkah ini diambil agar proses vaksinasi warga asing yang mendapat sambutan sangat baik sepanjang pelaksanaannya, dapat dilakukan dalam suasana yang lebih selamat dan selesa,” kata CITF dalam satu kenyataan.

Kemudahan vaksin secara jalan masuk untuk semua warganegara Malaysia di Lembah Klang akan diteruskan tetapi membabitkan 13 PPV.

Secara keseluruhannya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata sejumlah 54.3 peratus populasi dewasa di negara ini – atau 12,718,701 individu – selesai mendapat dua dos vaksinasi Covid-19 setakat semalam.

[Baca berita penuh]


Source link

Join to newsletter.

Curabitur ac leo nunc vestibulum.

Thank you for your message. It has been sent.
There was an error trying to send your message. Please try again later.

Continue Reading

Get a personal consultation.

Call us today at (555) 802-1234

Request a Quote

Aliquam dictum amet blandit efficitur.